Tanam Sendiri--Terung
Terung, sayur buah yang popular dalam masyarakat kita. Buahnya enak
dimakan muda bewarna putih, ungu tua atau hitam dengan bentuk panjang,
bujur atau bulat telur. Terung adalah dari keluarga yang sama dengan
kentang iaitu keluarga Solanum. Pokok terung perlukan banyak
cahaya dan sesuai ditanam dalam bekas. Bagi rakan-rakan yang tiada
ruang atas tanah, terung sesuai ditanam di dalam pasu yang besar.
Tempat
Terung perlukan banyak cahaya dengan tanah yang subur. Ia sesuai ditanam dalam tanah yang kaya dengan organik. pH 5.5 hingga 6.8. Seeloknya gaulkan 5 cm (2 inci) baja organik tinja ayam dalam 15 cm (6 inci) tanah.
Cara Menyemai Benih
Rendamkan benih dalam air suam sehari sebelum menyemai untuk menpercepatkan percambahan iaitu bermalam. Tanam dalam dulang semaian atau bekas kecil menggunakan tanah organik (tanah adunan semaian). Tanam sedalam 2 cm. Ada yang syorkan supaya tutup permukaan bekas semaian dengan plastik hitam selama 2 hari kerana benih terung akan bercambah dalam gelap sepenuhnya. Benih terung akan bercambah dalam masa 1 hingga 5 minggu.
Mengalih Anak Benih
Alih anak benih apabila ia tumbuh setinggi 8 hingga 10 cm (3 hingga 4
inci) atau apabila daun sebenar telah tumbuh ke dalam bekas besar atau
ke atas batas. Jika inginkan pohon yang rimbum, apabila pokok mencapai
20 cm (8 inci) patahkan pucuk yang utama. Jika tanam atas batas,
jarakkan pokok kira-kira 45 hingga 60 cm (18 hingga 24 inci).
Penjagaan
Merumput dan siram selalu. Jangan biarkan tanah kering tapi jangan pula sampai air bertakung. Tambah baja setiap 2 minggu. Gunakan baja organik. Untuk cepatkan pertumbuhan siram teh kompos atau air rumpai laut untuk bekalkan natrium dan kalium.
Jika keadaan kering (musim kemarau), tutup permukaan tanah dengan sungkup, misalnya jerami atau tanah daun untuk kekalkan kelembapan tanah.
Penjagaan pokok terung tidak cerewet. Ia boleh ditanam dalam bekas dan diletak di tepi rumah.
Pokok terung ini dibaja menggunakan baja organik menggunakan kompos dari bahan dapur.
Menuai
Petik buah ketika ia paling berkilau. Apabila buah kurang berkilau, ia semakin pahit dan kurang enak dibuat ulam. Gunakan pisau atau gunting kebun dan kerat pada tangkai buah.
Petik buah terung ketika ia paling berkilau.
Masalah
Perhatikan pokok, ia mungkin diserang kekabuh terung, lalat buah, bena (aphid), whitefly dan ulat bulu. Buang atau musnahkan haiwan perosak jika temui.
Fakta Tentang Terung
Benih kekal bernas selama 6 hingga 10 tahun jika disimpan dalam bekas yang kering padasuhu bilik.
Kadar cambahan benih, 60%.
Suhu optima percambahan adalah pada 25 hingga 30 darjah Celsius.
Tanam 2 pokok untuk setiap ahli keluarga yang makan terung.
Waktu tuai, 70 hingga 110 hari selepas menyemai. 50 hingga 75 hari selepas mengalih anak pokok.
Satu pokok menghasilkan 5 hingga 10 buah dalam satu masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan